Saturday, 27 May 2017

Ramadhan Kareem, Allah Al-Akram

Alhamdulillah sekarang kita berada dibulan yang suci yakni bulan Ramadhan . Sekarang dh masuk 2 Ramadhan.  Tadi ada tazkirah di surau area rumah.. Ini sedikit isi yang ayah share dgn kitorg kt rumah..

GANJARAN YANG SANGAT BESAR UNTUK MEREKA YANG DIKURNIAKAN REZEKI HIDUP DAN BERAMAL IBADAH PADA BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK.

Daripada Saidina Tolhah bin 'Ubaidillah Radhiayallahu 'Anhu menyatakan bahawa terdapat dua orang daripada kabilah Baliy telah memeluk Islam dengan Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam.

Salah seorang di kalangan mereka sangat kuat beribadah dan telah menyertai peperangan lalu mati syahid. Manakala seorang lagi meninggal dunia setahun selepasnya.

Tolhah Radhiayallahu 'Anhu berkata :

"Saya telah melihat dalam mimpi bahawa ketika saya bersama dengan mereka berdua di hadapan pintu syurga, keluar seorang lelaki dari syurga lalu memberi izin kepada lelaki yang mati paling akhir di antara mereka berdua untuk memasuki syurga. Kemudian, lelaki tersebut keluar dan memberi izin pula kepada lelaki yang mati syahid untuk masuk ke dalam syurga."

Kemudian dia kembali kepadaku dan berkata :

"Kamu pulanglah dulu kerana giliranmu belum tiba masanya."

Keesokan paginya, Tolhah bercerita dengan orang ramai dan mereka merasa pelik dengan mimpi tersebut. Kisah itu sampai kepada Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam dan para sahabat menyatakan rasa pelik mereka kepada Baginda.

Baginda bertanya :

"Perkara apakah yang kalian rasa pelik?"

Para sahabat menjawab :

"Ya Rasulallah, kenapa lelaki yang kuat beribadah dan telah mati syahid ini masuk syurga lewat berbanding dengan lelaki yang mati kemudian daripadanya?"

Baginda bertanya :

"Bukankah lelaki yang mati kemudian ini dapat hidup setahun lebih daripada lelaki yang mati syahid itu?"

Para sahabat menjawab : Ya.

Rasulullah bertanya lagi:

"Bukankah dia dapat hidup pada bulan Ramadhan dan dapat berpuasa serta mendirikan solat dan sujud sekian banyak dalam tahun tersebut?"

Para sahabat menjawab : Bahkan.

Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Kedudukan dan ganjaran di antara mereka berdua adalah lebih jauh di antara langit dan bumi."

Hadith Sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Imam Ibnu Majah rahimahumallah.

"Ya Allah, kurniakanlah rezeki kepada kami untuk hidup dan melakukan ibadah sebaik mungkin dalam bulan Ramadhan dan terimalah amal kami di sisi-Mu."

اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا لِرَمَضَانَ وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لنا، وَتَسَلَّمْهُ مِنَّا مُتَقَبَّلا.

الفقير إلى رحمة الله و مغفرته،
أبو عمار مدني،
عفا الله عنه وعن والديه وعن جميع المسلمين.

No comments:

Post a Comment